Friday, May 4, 2012

SI BUJANG

Setiap Ketentuan Allah Ada Hikmahnya...

Sudah menjadi adat, jika si wanita yang berusia 30an masih membujang, ramai yang mengambil mudah tentang mereka. Kononnya golongan ini banyak duit dan tidak banyak tanggungjawab. Namun dalam masa yang sama, ramai tidak memahami dengan kesempitan mereka yang terpaksa berperang jiwa raga semata-mata untuk memenuhi kehendak yang tidak mengerti ini.

Persoalan kahwin adalah satu persoalan yang rumit untuk dirungkai terutamanya apabila bersangkut paut dengan soal jodoh. Bagi yang belum bertemu jodoh, pasti ramai yang bertanya, "BILA NAK TAMATKAN ZAMAN BUJANG?", "BILA NAK MERASA NASI MINYAK?', "JANGAN MEMILIH SANGAT", "AWAK BILA LAGI?", "NAK TUNGGU SAMPAI BILA?" dan pelbagai kata-kata yang walaupun dianggap gurauan tetapi ia kadangkala sangat mengguris hati Si Bujang...

Komen-komen yang agak pedas ini biasa didengari oleh kami wanita yang masih solo apatah lagi apabila rakan-rakan sebaya semuanya sudah berkeluarga dan beranak-pinak. Kalau Si Bujang itu wanita berkerjaya stabil... berjawatan tinggi... ditambah pula penampilan menarik, tekananya mungkin lebih hebat lagi malah ada yang membuat tanggapan, "Itulah..jawatan tinggi sangat, manalah ada lelaki berani nak dekat" atau "Sibuk sangatlah tu", "Nak tunggu lelaki berpangkat jugalah tu". Persoalannya benarkah begitu?

Herrmm...Pun begitu aku sangat bersyukur walaupun pada usia yang telah mencecah 30an masih solo. Bersyukur kerana dianugerahkan Allah adik-beradik, ipar duai dan anak-anak sedara yang banyak membantu di saat memerlukan. Di kala sakit, duka dan gembira hidupku terisi dek ikatan kekeluargaan yang kuat serta sikap saling mengambil berat di antara kami.

Siapa yang tidak mahu menjadi umat Muhammad SAW? Realiti sebenar wanita ini masih membujang hanya mereka dan Tuhan sahaja yg tahu. Kata orang "Berat mata memandang.. Berat lagi bahu memikul", kalaulah memilih jodoh itu semudah membeli ikan di pasar pastinya masalah ini tidak berlanjutan. Walaupun kadang kala ada yang sanggup memberi gelaran andartu atau wanita sepi, tertekan dan tidak bahagia tetapi terfikirkah mereka ada wanita bujang yang sukses kerjayanya ini hidup dengan selesa malah rezeki berlebihan ini pula menjadi modal menambah pelaburan akhirat untuk mengisi kebahagiaan.

Fenomena lambat bertemu jodoh ini adalah isu masyarakat dan bukannya isu peribadi sendiri. Masyarakat sepatutnya membantu golongan ini untuk cepat bertemu jodoh dan bukannya memberi tekanan kepada mereka. Majoriti wanita bujang ini mempunyai hasrat yang tinggi untuk berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Namun kerana beberapa halangan, terpaksa menangguh dahulu hasrat tersebut atau mungkin jugak kerana sudah berputus asa dalam soal jodoh.

Bagi yang belum bertemu jodoh, janganlah bersedih, murung, rendah diri atau rasa tertekan. Anggaplah ini adalah ujian kita. Kita perlu terus mencari, berusaha dan teruskan berdoa. InsyaAllah, jodoh kita pasti ada. Jangan kerana jodoh belum sampai, kita menghukum diri kita dengan menafikan hak kita untuk berbahagia. Kita juga layak berbahagia seperti wanita lain.

Berbahagialah dengan apa yang kita miliki sekarang, kerjaya yang kukuh, ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak saudara yang menyayangi dan sebagainya. Berbahagialah kerana kita dikurniakan kesihatan dan ketenangan hidup. Lakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan menggembirakan selagi ia tidak melanggar syarak...

Sabarlah dan tabahkanlah hati wahai wanita-wanita di luar sana yang belum lagi menemui jodoh. Jodoh bukan segalanya dalam hidup. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki. Paling penting sekali  bersyukur kerana dilimpahi nikmat Islam, Iman dan Taqwa. Bersyukurlah untuk setiap nafas kehidupan yang dianugerahkanNya. Berbahagialah dengan setiap inci rahmat dan kurniaanNya kepada kita pada setiap detik...



           ~RAILAH BAHAGIA WALAU SENDIRI~

No comments:

Post a Comment

mY MEmoRieS


Ingatan Untuk Mu... Ingatan Untuk ku

Ingatan Untuk Mu... Ingatan Untuk ku

National Geographic POD